Pemberian diskaun premium 50 hingga 90 peratus manfaatkan pemilik tanah pegangan pajak – Kon Yeow

  • 2 years ago
  • 0

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap pemberian diskaun premium bagi pelanjutan tempoh pajakan dan pemberimilikan setelah tempoh pajakan tamat dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pemilik tanah pegangan pajak (leasehold) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, meskipun pelaksanaan pemberian diskaun premium berkaitan akan mengurangkan hasil dan memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri, namun atas pertimbangan faktor sosial serta kepentingan umum, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan ini demi kebajikan rakyat Pulau Pinang yang layak.

“Sejak ‘Pemberian Diskaun Premium Bagi Permohonan Pelanjutan Tempoh Pajakan dan Permohonan Pemberimilikan Disebabkan Tempoh Pajakan Telah Tamat’ diumumkan pada sesi pembentangan Bajet Tahun 2023 di Dewan Undangan Negeri pada 21 September 2022, Kerajaan Negeri menerima pelbagai pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini.

“(Dan) mulai 1 Januari 2023, melalui Pekeliling Pengarah PTG Pulau Pinang Bilangan 1/2023, perkara ini telah dikuatkuasakan sebagai Dasar Permohonan Pelanjutan Tempoh Pajakan dan Permohonan Pemberimilikan Disebabkan Tempoh Pajakan Telah Tamat (selepas ini disebut sebagai Pekeliling PTG, Pejabat Tanah dan Galian),” ujarnya.

CHOW Kon Yeow pada sidang media di Komtar di sini.

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah memaklumkan bahawa pemberian diskaun premium tersebut merangkumi semua kategori kegunaan tanah dan dilaksanakan dalam dua keadaan.

“Pertamanya, adalah bagi pemilik tanah berstatus ‘leasehold’ yang memohon pelanjutan atau pembaharuan tempoh pajakan sedia ada sebelum tempoh pajakan tamat yang mana di Pulau Pinang kebanyakan tempoh pajakan sehingga 99 tahun.

“Keduanya, adalah bagi pemilik tanah terakhir dalam dokumen hak milik yang mana tanah miliknya telah ‘kembali’ kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) disebabkan tempoh pajakan telah tamat dan ingin memohon pemberimilikan semula bagi tanah tersebut.

“Walau bagaimanapun, penentuan premium tanah di Pulau Pinang adalah mengikut nilai pasaran tanah semasa yang ditentu nilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“(Dan) Kerajaan Negeri juga bersetuju dengan pemberian diskaun premium dari serendah 50 peratus sehingga 90 peratus atas nilaian tanah semasa tanpa mengambil kira struktur di atas tanah tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemberian diskaun premium bagi kategori penggunaan tanah, Kon Yeow memberitahu bahawa kadar premium bagi kategori pertanian adalah sebanyak 10 peratus bagi pemohon individu.

“Hal ini bermakna, pemohon individu bagi kategori pertanian ini akan menikmati diskaun 90 peratus manakala bagi pemohonan bukan individu pula, kadar premium dikenakan adalah 12 peratus iaitu diskaun 88 peratus.

“Bagi kategori kegunaan tanah bangunan seperti kediaman dan perumahan, pemohon individu dan pemohon bukan individu akan dikenakan kadar premium sama seperti kategori pertanian iaitu masing-masing 10 peratus dan 12 peratus.

“Namun, bagi perniagaan atau komersial, kadar premium dikenakan adalah 20 peratus atau diskaun 80 peratus bagi pemohon individu dan bukan individu.

“Manakala, kategori perindustrian pula, kadar premium adalah mengikut nilai jualan tahunan yang mana tidak melebihi RM50 juta kadar premium adalah 25 peratus (diskaun 75 peratus) dan kadar premium bagi nilai jualan tahunan melebihi RM50 juta pula sebanyak 50 peratus (diskaun 50 peratus).

“Bagi pemohon kategori perindustrian yang tidak beroperasi di atas tanah tetapi menyewakan atau memajakkan kepada pihak lain, kadar premium adalah sebanyak 100 peratus (tanpa diskaun),” jelasnya.

Tambah beliau, pemberian diskaun premium ini juga tertakluk kepada beberapa syarat lain yang telah diperincikan dalam Pekeliling PTG, antaranya pengenaan moratorium pindah milik selama 10 tahun dari tarikh pendaftaran hak milik.

“Hal ini bermaksud, sekiranya pemilik tanah ingin menjual tanahnya dalam tempoh 10 tahun tersebut, pemilik tanah akan dikenakan kadar premium (bayaran) sebanyak 100 peratus tertakluk kepada diskaun premium yang telah dibayar sebelum ini.

“Pengenaan syarat seumpama ini adalah bagi mengekang terjadinya spekulasi tanah serta bagi mengelak pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan atas pemberian diskaun premium oleh Kerajaan Negeri ini,” jelasnya lanjut.

Sebagai rekod, berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara, tanah hakmilik yang telah tamat tempoh pajakan ditetapkan dalam dokumen hendaklah kembali menjadi tanah Kerajaan dan terletak hak kepada PBN.

Dalam pada itu, bagi menjawab pertanyaan pemberita, Pengarah PTG Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long yang turut hadir dalam sidang media itu memaklumkan bahawa bagi tahun 2023 sebanyak 56 pegangan pajakan dikenal pasti akan tamat tempoh.

“Manakala, bagi tempoh 2024 sehingga 2030 sebanyak 208 pegangan pajakan dikenal pasti akan tamat tempoh dan mereka ini layak untuk memohon pelanjutan atau pembaharuan,” katanya.

Compare listings

Compare